Seharian di Nasuha Herbs Farm, Pagoh, Johor

Nasuha Herbs Farm, Pagoh, Johor, bukan sekadar taman herba dan ladang buah | Kali terakhir saya ke sini adalah pada tahun 2005, pada zaman universiti dulu. Ketika itu Nasuha Herbs Farm lebih popular dikenali sebagai Ladang Nasuha, menempatkan kem Pusat Latihan Khidmat Negara. 15 tahun dah berlalu, baru kali ini saya tahu yang ‘ladang’ yang saya kenali dulu sudah berubah jauh menjadi pusat kajian dan pendidikan, selain bersantai dan bercuti.

Pintu masuk ke Nasuha Herbs Farm

Nasuha Herbs Farms ditubuhkan pada tahun 1981 apabila pengeluaran Rempah Ratus Mak SIti tidak dapat ditampung oleh stok bahan mentah sedia ada. Ladang seluas beribu ekar ini terdiri daripada kilang rempah, ladang pelbagai herba, chalet penginapan, kelengkapan team building, 11 tasik simpanan air, muzium herba, restoren dan dewan-dewan seminar.

Kilang rempah di dalam Nasuha Herbs Farm

Nasuha Herbs Farm telah dinobatkan sebagai ladang herba terbesar di Asia oleh Malaysia Book of Records dengan keluasan 32,000 ekar. Ladang ini mampu menghasilkan lebih kurang 9 ke 10 tan metrik rempah sehari dan merupakan penyumbang bahan mentah utama jenama Rempah Ratus Mak Siti. Ladang yang ditubuhkan oleh Haji Nasuha Kaslan ini, telah menghasilkan 108 produk herba bawah jenama ‘CT Herbs Spices Nasuha’. Nasuha Herbs Farm juga telah lulus persijilan organik Amerika Syarikat, Kanada dan Kesatuan Eropah, membolehkannya dieksport ke sana.

Aktiviti yang anda boleh lakukan di Nasuha Herbs Farm, Johor

1. Belajar tentang herba

Pokok herba di Nasuha Herbs Farm

Dalam Muzium Herba Nasuha, anda boleh belajar serba sedikit tentang herba-herba yang dipamerkan. Anda boleh juga belajar melalui farm tour atau kursus yang boleh diambil jika ditawarkan oleh pihak ladang. Sebenarnya satu hari memang takkan cukup kalau nak belajar tentang semua herba yang ada di dalam Nasuha Herbs Farm ini.

2. Cuba dan beli produk herba

Selain belajar tentang herba, anda boleh rasa sendiri herba yang mentah dan cuba guna herba yang siap diproses. Kalau buka minda dan semangat belajar, memang seronok sangat sepanjang sesi ini. Tengok video di bawah, gelagat Lutfi Zakuan makan daun herba.

Produk-produk ini juga boleh dibeli di ladang ini. Boleh datang ke muzium herba besebelahan dengan restoren, dekat dengan pintu masuk. Pasti ada staf yang akan jawab segala soalan anda.

3. Farm tour Nasuha Herbs Farm Johor

Sebenarnya farm tour selalunya naik tram atau lori. Kami je istimewa hari itu.

Aktiviti inilah aktiviti kegemaran saya. Macam budak terlebih gula turun naik 4WD. Kahkah. Seronok sangat menggambar dan menyanyi sampai kena libas dengan dahan pokok. Nasib baik telefon di tangan tu ada lanyard. Tapi puas hati betul. Banyak video menarik. Nanti masuk YouTube, sabar ya. Lagi banyak belajar ilmu baru. Lagi seronok sebab semuanya bukan teori, tapi dapat dipegang, dirasa dan dijilat sendiri. Kami akan berhenti sekejap-sekejap untuk lihat pokok-pokok herba tertentu sambil En Hariz, Ketua Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Ladang Nasuha, mengajar kami.

4. Rasa buah-buahan

Pernah lihat buah pala mentah? Ini rupanya.

Selalu makan buah pala dari Pulau Pinang saja kan? Sampai ke Nasuha Herbs Farm, daatlah nampak buah pala di atas pokok. En Hariz siap petik dan kopekkan untuk bagi kami rasa. Masam. Sebab itu orang buat jeruk manis.

Ambillah pakej korporat atau hari keluarga dan datang semasa musim buah. Buah-buahan boleh dimakan percuma sepanjang penginapan anda di sana. Mesti meriah. Masa kami datang ini bukan musim. Bukan rezeki kamilah.

5. Bermalam dan barbeku

Chalet dan dorm yang ada di sini agak baik kemudahannya. Sesuai untuk aktiviti korporat. Sesuai juga untuk kem sekolah. Kalau tak mahu seminar atau team building, bersantai-santai barbeku dengan keluarga pun ok. Boleh lihat gambar-gambar di page Facebook Ladang Nasuha.

6. Berkayak, redah hutan dan aktiviti lasak

Sekiranya anda datang dengan bilangan minimum 20 orang, anda boleh dapatkan pakej aktiviti lasak obstacle crossing dan berkayak. Boleh juga menjelajah ladang secara jungle tracking. Saya tak sempat cuba semua aktiviti ini. Lain kali kena datang lagi macam ni.

7. Merakam memori

Macam bergambar musim luruh pun ada

Sekarang tak dapat ke luar negara, pergi Nasuha Herbs Farm dapatlah berangan macam bergambar dalam musim luruh. Bila berada di dalam alam semulajadi seperti ini, semu atempat pun nampak cantik bila bergambar.

8. Makan nasi beriyani rempah, unik hanya di Nasuha Herbs Farm, Johor

Inilah kebahagiaan utama bila datang ke Nasuha Herbs Farm. Dah penat seharian belajar dan melawat ladang, makan tengahari istimewa dengan Nasi Beriyani Herba yang unik ini. Supnya pun sup herba. Digandingkan pula dengan air jus asam keping, memang lain dari yang lain. Hanya ada di Nasuha Herbs Farm.

9. Belajar buat sabun

En Hariz menunjukkan nurseri ladang.

Dari semasa ke semasa, Nasuha Herbs Farm turut menawarkan kursus membuat sabun yang terbuka untuk orang ramai. Kelas tersebut diadakan di tingkat atas nurseri ini.

Mahu tahu lebih lanjut tentang aktiviti dan produk Nasuha Herbs Farm Johor?

Antara produk keluaran Nasuha Herbs
Harga pakej yang ditawarkan untuk mengunjungi Nasuha Herbs Farm
Harga pakej di Nasuha Herbs Farm

Produk-produk Nasuha Herbs boleh juga didapati di kedai rasmi Nasuha Herbs di Shopee dan Lazada.

Harga pakej yang tertera adalah anggaran sahaja. Pastikan anda hubungi Nasuha Herbs untuk dapatkan sebut harga dan tempahan.

Kunjungi Facebook dan laman sesawang Nasuha Herbs Farm untuk makluman lanjut.

Hits: 183

2 Comments

Share your thoughts about this post

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.