Main ATV, Makan Buah dan Rasa Madu di Desaru Fruit Farm

Desaru Fruit Farm: Main ATV, melasak dan makan buah-buahan segar | Kami sampai di Desaru Fruit Farm waktu hujan renyai. Masa itu, saya sudah tak letak harapan tinggi untuk menunggang ATV. Sudah 2 hari hujan sangat lebat di Kota Tinggi. Malah banyak tempat di Johor dan Malaysia sudah banjir ketika itu.

Namun, tak lama lepas kami sampai, setelah duduk sekejap berbual-bual santai dengan staf-staf Desaru Fruit Farm, hujan pun berhenti. “Hai, senangnya rasa hati, dapat naik ATV!” bak kata P Ramlee.

Naik ATV di Desaru Fruit Farm

Harga ATV ride di Desaru Fruit Farm
Harga ATV Ride di Desaru Fruit Farm

Sebelum menunggang ATV, kami diajar cara menunggang dan cara menjaga keselamatan sepanjang perjalanan. Tak risau sangat sebab ada pengiring dan kami pergi dalam kumpulan besar. Sepanjang menunggang, sentiasa ada orang di depan dan di belakang kita. Selain tu, kami kena tandatangani borang mengesahkan kami akan bertanggungjawab atas keselamatan sendiri dan sekiranya berlaku sebarang kerosakan ke atas ATV yang digunakan. Namun, sangat rendah kebarangkalian ni berlaku. Jalan keliling ladang je pun. Kalau kau langgar pokok, haruk no nak melasak le tu.

Borang akuan kebertanggungjawaban yang mesti ditandatangani sebelum naik ATv di Desaru Fruit Farm
Borang akuan kebertanggungjawaban untuk guna ATV
Masuk ladang dengan ATV
Kelengkapan helmet disediakan untuk naik ATV, di samping taklimat amali
Siap untuk bergerak. Semangat! Orang paling depan, kau.

Kalau awak minah rempit macam saya, ATV ni insyaAllah kacang putih panggang satu kilo je. Tapi tetap seronok. Cuaca mendung, redup, masuk ladang, lalu paya. Gian dah ni.

Semua laluan tanah

Khabarnya, pakej yang 40 minit tu, ada laluan merentas sungai. Kami ada juga lalu pesisir sungai. Geramnya hati, rasa nak terjun masuk je. Sejuk-sejuk hujan tu kan. Nasib baik program orang. Tahankan je diri.

Mencabar ke ATV di sini? Tidaklah. Kalau ada asas menunggang motosikal, mudah je. Dan laluannya cuma laluan tanah ladang. Bila hujan begini, becak banyak. Pastikan bawa baju salin kalau tak suka kotor lumpur. Tandas banyak dan selesa.

Kedai Buah dan Makanan di Desaru Fruit Farm

Bila masuk ke perkarangan Desaru Fruit Farm ini, bangunan pertama yang kita akan nampak adalah restorennya. Anda perlu tempah untuk makan di sini. Di sebelah restoren ini adalah kedai menjual pelbagai jenis hasil dari Desaru Fruit Farm ini, termasuklah buah-buahan, madu, jajan dan pelbagai makanan yang diperbuat dari hasil ladang ini.

Kafe di Desaru Fruit Farm turut menyajikan minuman, waffle dan buah-buahan
Kafe ini juga ada menjual minuman, jagung manis dan waffle

Madu Hasil Ladang Lebah Desaru Fruit Farm

Desaru Fruit Farm turut menghasilkan madu lebah mereka sendiri. Kami sempat mendengar taklimat pendidikan tentang kebaikan madu dan promosi produk madu yang ada dijual di sini. Apa yang paling rare? Pertama kali saya jumpa, madu tongkat ali. Pergh! Manis dan pahit bergabung khasiat.

Antara produk madu yang dijual di Desaru Fruit Farm
Antara produk madu yang dijual di Desaru Fruit Farm

Ada banyak lagi produk madu yang dijual di sini, termasuklah royal honey dan pollen. Untuk tahu jenis dan harganya, boleh lihat gambar di Facebook page saya. Lebih banyak gambar, siap tanda harganya.

Makan Tengahari

Makan tengah hari kami istimewa sebab kami dihidangkan dengan bufet buah dahulu sebelum dijamu dengan menu utama. Berpuluh-puluh jenis buah disajikan, siap dengan cicah asam dan sambal kicap untuk goreng pisang. Cara asli orang Johor, makan pisang goreng dengan sambal kicap. Gembiralah saya makan buah dengan banyaknya hari tu sampai lupakan nasi.

Hari itu, di Desaru Fruit Farm, sebab ada papan tanda pada setiap kawasn ladang, saya baru belajar bahawa jambu air dalam Bahasa Inggeris adalah ‘rose apple’ ya, tuan-tuan dan puan-puan. Ya, silalah gelakkan makcik jakun ini. Saya tak kisah. Dan jarang dapat jumpa jambu air hijau, hari itu saya dapat makan. Alhamdulillah, kenyang, puas dan gembira.

Bufet buah-buahan dalam makan tengahari di Desaru Fruit Farm
Bufet buah-buahan di Desaru Fruit Farm

Uniknya makan tengahari kami, sotong dan ayam goreng tepung disajikan dengan sos buah naga dan sos markisa. Sedap! Tomyamnya juga istimewa sebab tomyam kuah air kelapa. Lemak, pedas menyengat.

Makan tengahari di Desaru Fruit Farm
Lauk-pauk dalam makan tengahari di Desaru Frut Farm

Pulanglah saya ke JB dengan perut yang kenyang dan hati yang gembira sebab pengalaman baru naik ATV. Lain kali nak datang sini pada musim buah dengan kawan-kawan pula.

Anda boleh tempah pakej ATV, farm tour dan makan tengahari untuk kumpulan besar terus melalui Desaru Fruit Farm. Layari laman rasminya www.dff.world

Apa lagi anda boleh buat di Desaru?
Lawatlah pantai Batu Layar.
Dan makan malam di Nelayan Seafood by The Coast.

Hits: 59

Share your thoughts about this post

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.