Hard Rock Hotel Desaru Coast

Semalaman di dalam bilik King Deluxe Hard Rock Hotel Desaru Coast | Desaru Coast adalah kawasan di antara pantai Desaru yang lama dan Batu Layar. Selepas melepasi Bandar Penawar, jalan masuknya di celah kawasan hutan yang tiba-tiba ada simpang berlampu isyarat dengan mercu tanda gah Desaru Coast. Ibarat syurga yang tersembunyi di celahan hutan belukar.

KIng Deluxe Room HArd rock hotel desaru coast
Bilik King Deluxe di Hard Rock Hotel Desaru Coast

Perjalanan kami dari Pagoh petang itu ditemani hujan lebat sepanjang perjalanan. Sampai di Desaru selepas Asar, kami nampak dari dalam bas beberapa kawasan sekitar yang ditenggelami banjir dan pokok tumbang yang sedang dibersihkan pihak berkuasa tempatan. Bila kawan-kawan nampak posts dan stories saya di media sosial, ramai juga yang bertanya, “Tak banjir ke Desaru tu Ajan?” “Boleh bercuti waktu hujan lebat begini?” “Lepas ke dari sini ke Kota Tinggi?” dan macam-macam lagi. Alhamdulillah kami semua ok saja dan selamat sampai ke Desaru dan memenuhi kebanyakan program seperti dalam aturcara.

Mencabar juga bila sampai tu. Turun bas dan ambil beg sekejap saja, dah basah lencun. Padahal bas berhenti betul-betul di lobi Hard Rock Hotel tu. Tempias punya fasal. Kemudian dapat tahu, lif rosak sebab bahagian bawah ditenggelami air banjir. Menapaklah turun lalu tangga. Alhamdulillah setingkat saja dan saya bawa beg sandang. Kalau beg troli, kena tunggu bell boy hantar pula. Namun, operasi lif kembali pulih sebelum kami keluar makan malam. Cepat pasukan maintenance bertindak. Terbaik.

King Deluxe Room Hard Rock Hotel Desaru Coast

welcoming message on TV screen at hard rock hotel desaru coast room
Selepas debaran hujan lebat, uruh dan banjir, rasa tenang saja masuk bilik diiringi lagu Led Zeppelin dan rasa istimewa disambut skrin TV ini.

Pintu bilik ditampal pelekat menunjukkan bilik ini sudah disanitasi. Disambut dengan lagu Led Zeppelin ke dalam bilik king deluxe ini menghadirkan rasa istimewa dan mewah. Dengan lampu kuning samar-samar dan cuaca yang sejuk dan hujan lebat di luar, rasa lega akhirnya dapat rehat sekejap. Sanitizer dan mask siap diletakkan di atas meja untuk kegunaan penginap. Perincian baik, sesuai dengan Hard Rock yang selalu berbangga dengan hospitaliti taraf 5 bintangnya.

hand sanitizer, masks and sanitizing wipes provided in the room for the guests at hard rock hotel desaru coast
Hand sanitizer, pelitup muka dan sanitizing wipes yang disediakan untuk kegunaan penginap.

Mesra Alam Sekitar

Hard Rock Hotel nampaknya komited dalam menjaga alam sekitar dengan perincian mesra alam di dalam bilik ini. Dua tong sampah disediakan untuk mengasingkan sisa sampah dan sisa boleh kitar semula. Botol air disediakan dan perlu diisi sendiri daripada penapis air di luar bilik menggantikan botol air plastik seperti di kebanyakan hotel. Selain itu, pintu gelongsornya juga dilengkapi sensor. Jika dibuka, penghawa dingin akan mati sendiri dan hidup kebali sebaik sahaja dirapatkan. Canggih betul.

Di luar pintu ini ada balkoni siap sofa dan meja. Indah betul mengopi sambil merenung hujan petang-petang tu. Malam pula, lepas makan, melayan filem-filem. Banyak sangat pilihan, memang takkan habis walaupun melayan dari check in sampai check out esoknya.

Bufet Sarapan

bufet sarapan di hard rock hotel desaru coast
Sebahagian daripada menu sarapan kami pagi itu.

Bufet sarapan di sini ada pelbagai menu dari masakan Melayu, makanan Cina dan menu barat. Teh tarik dia sedap betul! Masuk-masuk saja ke restoren, En Suzairy nampak aku, terus rekomen teh tarik. Ada orang semeja aku sampai tambah dua cawan. Antara menu yang ada adalah nasi lemak, American breakfast siap telur dadar, pelbagai pastri, bijirin sarapan beberapa jenis dengan susu, bubur berlauk, yong taufu, pelbagai mi kuah Cina, pancake dan buah-buahan. Boleh tengok gambar-gambar lagi banyak di Facebook page saya ya.

Jengah juga ke dalam Rock Spa dan Rock Shop sekadar melihat-lihat. Pengumpul barang brand Hard Rock mesti kena singgah. Gimnasium dan kolam renangnya juga besar dan banyak peralatan, sesuai untuk peminatnya tersendiri. Seluruh hotel yang selesa dan lengkap untuk percutian menenangkan jiwa dan meredakan tekanan. Mewah untuk kebanyakan orang, tapi sekali-sekala apa salahnya kan?

Hits: 89

Share your thoughts about this post

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.