Mersing Bee Farm
Mersing Bee Farm merupakan ladang ternakan lebah yang terletak di Kampung Gajah Mati, Mersing. Kalau lalu jalan Kota Tinggi – Mersing, Mersing Bee Farm terletak di sebelah kanan Jalan Jemaluang. Papan tandanya kecil saja dan laluan masuknya tidak ketara, macam lorong kecil masuk kampung saja. Pastikan anda dapat lokasinya yang tepat ya.
Beberapa ratus meter selepas belok masuk ke lorong tadi, anda akan nampak papan tanda ini: Mersing Bee Farm.

Mersing Bee Farm adalah salah satu produk ekopelancongan di Mersing. Ini bermakna, selain daripada datang beli madu dan bermalam di sini, anda juga boleh belajar tentang lebah dan madu dan menikmati buah-buahan dari dusun semasa musim buah.
Apa yang menarik di Mersing Bee Farm?

Belajar tentang lebah dan madu
Dalam lawatan itu, kami ditunjukkan yang lebah sebenarnya tidak akan mengacau manusia kecuali rasa terancam. Menyengat adalah senjata terakhir lebah kerana sebaik sahaja lebah melepaskan sengatnya, lebah akan mati, tidak seperti tebuan yang boleh menyengat berkali-kali. Sengat lebah ibarat seperti nyawanya. Jadi, kami dipesan oleh Encik Razif, Pengarah Operasi Mersing Bee Farm untuk memastikan supaya kami tidak menepis jika ada lebah hinggap pada kami. Biarkan saja sehingga lebah itu berlalu pergi kerana ia hanya akan menyengat bila ditepis atau diganggu. Kasihan kalau kena bunuh, kurang sudah satu lebah pekerja dalam ladang ini.


Lebah yang diternak di Mersing Bee Farm adalah spesis lebah yang diimport dari Australia yang nama saintifiknya adalah Apis Melifera. Lebah ini saiznya lebih besar dari lebah tempatan dan mampu menghasilkan madu yang lebih banyak, ciri yang baik untuk dijadikan penghasilan madu.
Warna madu lebah berasal dari makanan lebah dan ia tidak menggambarkan kualiti madu tersebut. Contohnya jika lebah makan manisan dari pokok gaharu, warna madu yang terhasil akan lebih gelap, manakala lebah yang makan madu dari bunga, mungkin menghasilkan warna madu yang lebih cerah. Lebah-lebah di Mersing Bee Farm kebanyakannya makan gaharu dari hutan berdekatan. Gaharu merupakan antara sumber makanan yang terbaik untuk lebah, menjadikan madu yang terhasil berkualiti tinggi. Seekor lebah boleh terbang sejauh 8km untuk mencari makanan.
Madu terbaik dan madu termahal di dunia
Apa yang menjadikan sesetangah jenis madu lebih mahal dari yang lain adalah kualiti madu tersebut. Lebah yang diternak di kawasan berhampiran hutan dengan populasi pokok tertentu akan mempengaruhi madu yang dihasilkan. Madu yang dikatakan terbaik di dunia yang berharga ratusan RM sekilogram dinamakan madu Manuka yang didapati hanya di Australia dan New Zealand. Madu ini dihasilkan oleh lebah yang makan dari pohon Manuka yang hanya terdapat di dua negara ini. Madu ini berkualiti sehingga sesuai digunakan untuk memulihkan luka kerana kandungan antibakteria semulajadinya.
Madu yang paling mahal di dunia pula adalah madu ‘Elvish’. Dijual pada harga 5,000 euro sekilo, madu ini hanya boleh didapati dari sarang lebah di Lembah Saricayir dekat bandar Artvin di timur laut Turki. Madu ini betul-betul asli dan eksotik.

Cara bezakan madu asli dan campuran
Selain dimakan, madu turut digunakan sebagai alternatif ubatan dan penjagaan kecantikan. Sebab kepelbagaian fungsi ini, amat penting untuk kenal beza madu asli dengan madu yang dicampur dengan gula untuk mendapatkan manfaat maksima. Ada dua cara mudah untuk kenal madu asli:
1: Campurkan madu dengan air
Madu asli akan kembali mendap walapun setelah dikocak dalam air. Madu asli tidak akan sebati dengan air. Setelah digoncang dengan air dalam botol, biarkan botol tersebut terletak diam. Tunggu dan lihat selepas beberapa minit. Jika madu terasing semula dengan air, sahlah itu madu asli tanpa campuran.
2: Gosokkan madu di atas lengan
Gosokkan madu di atas lengan sampai madu meresap. Madu asli tidak akan mengubah keadaan bulu roma di lengan. Manakala madu campuran gula akan menyebabkan bulu roma bergulung atau bergumpal kerana kandungan gula di dalamnya.

Aktiviti di Mersing Bee Farm
Selain daripada belajar tentang madu dan membeli madu, Mersing Bee Farm turut menyediakan penginapan serta fasiliti lengkap untuk anda adakan program team-building atau hari keluarga. Ruang dewan dan surau serta seluruh unit penginapan boleh memuatkan 300 orang.
Jika anda datang pada musim buah, pelbagai buah-buahan di sana boleh dinikmati secara percuma. Antara pokok buah-buahan yang ada termasuklah durian, rambutan dan duku.


Belajar ternak lebah dan hasilkan madu sendiri
Selain semua aktiviti dan kemudahan di atas, Mersing Bee Farm turut menawarkan khidmat latihan dan sokongan untuk mereka yang mahu menternak lebah sendiri. Pemantauan dan sokongan akan diteruskan secara jangka panjang sehingga berjaya memproses dan menjual madu. Malah, pihak Mersing Bee Farm turut membeli madu yang dihasilkan pelatih-pelatih untuk membantu memasarkannya.
Pengalaman Apipunktur di Mersing Bee Farm
Nak lihat bagaimana apipunktur dilakukan? Tonton video di bawah.
Laman rasmi Mersing Bee Farm
Laman sesawang https://mersing-bee-farm.business.site/
Hits: 181
Meremang aku nengok bee tu semua oii… kalau aku yang pegi ni, mau maaf laaa tak masuk dalam tu hahahaha
seramnya apipunktur tu…kalo saya, agaknya mampu tengok dari jarak 10 meter…hahahhaha
Memula takut jugak. Tapi sebab orang expert dah bagi taklimat. Ok aje.