10 Tempat Makan Sedap di Johor Anda Mesti Cuba

Datang Johor, makan di mana? Saya beri anda 10 tempat makan sedap di Johor yang mesti anda cuba. Dari Johor Bahru ke daerah sekelilingnya, Pasir Gudang, Gelang Patah dan Skudai, sampailah ke Batu Pahat, jom tengok tempat makan mana anda belum cuba.

1. Masak Lemak Cili Padi, Lomaq Foodies, Gelang Patah

Itik Salai Lemak Cili Api di Lomaq Foodies dari HerneeNazir.com
Itik Salai Lemak Cili Api di Lomaq Foodies

Khas buat penggemar asam pedas dan lemak cili padi, boleh cuba makan di Lomaq Foodies yang baru dibuka awal tahun ini. Pelbagai makanan sarapan dan tengah hari ada dijual di kedai yang terletak di Taman Denai Nusantara, Gelang Patah ini. Boleh baca maklumat penuh di blog Hernee Nazir.

2. Seafood Seri Bahagia, Tanjung Langsat

Pintu masuk ke Seafood Seri Bahagia, Tanjung Langsat

Makan makanan laut yang sedap sambil tengok pemandangan sungai yang indah. Kalau datang malam-malam, lagilah bahagia tengok lampu berkerlipan menghiasi tebing sungai itu. Restoren ini dibuka untuk makan tengahari dan makan malam. Kalau nak tahu lebih lanjut tentang menu dan rasa makanannya, kena baca di blog Kisah Si Dairy.

3. Istanbul Turkish Cuisine, Horizon Hills

Biber Dolma – nasi berempah yang dimasak dalam lada benggala. Sedap dan unik.

Tak jauh dari pusat bandar Johor Bahru, kalau tekak anda teringin makan menu antarabangsa, bolehlah cuba makanan asli Turki di Istanbul Turkish Cuisine di Horizon Hills. Semua menunya terdiri daripada hidangan asli Turki, termasuklah kopi Turki yang diseduh menggunakan pasir yang panas, teknik tradisional Turki. Lihat lebih banyak gambar menu Istanbul Turkish Cuisine di artikel lama saya ini.

4. Wachaa Burger, Parit Kadir, Batu Pahat

Batu Pahat memang terkenal dengan tempat makan tular yang terletak di celah-celah kampung. Kalau bukan sebab teknologi navigasi yang canggih sekarang, memang susah orang luar nak jumpa kedai-kedai makan di Parit Kadir, Senggarang ini. Salah satunya adalah Wachaa Burger yang menghidangkan, bukan saja burger, malah pelbagai masakan barat dan masakan panas lain. Boleh tengok suasana di kedai dan menu-menu lain di blog DeCamellia ini.

5. Masakan Ala Thai, Chaba Thai Food, Johor Bahru

Hidangan di Chaba Thai Food

Johor Bahru memanglah syurga makanan. Makanan Thai memang banyak pilihan. Salah satunya adalah Chaba Thai Food ini. Beroperasi dari 5 petang hingga 12 tengah malam di Taman Impian Emas, Chaba Thai Food menawarkan aneka masakan Thai panas yang pasti menggamit selera anda. Tengok sajalah gambar-gambar yang buat air liur meleleh di blog Mia Liana ini.

6. Kafe Kiri Kanan, Toppen, Tebrau

Kafe Kiri Kanan, Toppen Tebrau

Unik sekali nama kafe ini kan? Dengan slogan Menyentuh Hati Anda, menu-menu dan tema hiasan dalaman yang homey di kafe ini past menambat hati pengunjung. Sambil-sambil anda membeli-belah di Toppen, bolehlah singgah makan di kafe ini. Boleh lihat gambar-gambar menu fusion di sini dalam blog Siti Suziana ini.

7. Restoren Ateh Corner, Taman Universiti, Skudai

Restoren Ateh Corner, Jalan Kebudayaan, Taman Universiti, Skudai

Ateh Corner ini merupakan restoren lagenda di Taman Universiti. Asalnya beroperasi di gerai makan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (dulu dikenali sebagai Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah) atau lebih dikenali di kalangan pelajar UTM sebagai ‘payung’ sebab kedai ini banyak payung. Budak UTM, kalau tak kenal Ateh Corner, sila balik kampung. Apa yang paling menarik di Ateh Corner ini adalah menu yang sangat banyak jenis dan pilihan, serta servis yang cepat. Boleh tengok antara menu yang ada di blog Kasih Juju.

8. Lok Lok Halal di Johor Bahru

Anda penggemar lok-lok? Lok lok ada banyak dijual di Johor Bahru. Tapi untuk dapatkan yang sah halal, di sini ada senarai 5 tempat yang anda boleh pergi. Boleh lihat senarai dan maklumat penuh di blog Farah Huda.

9. Best Dimsum dan Pau, Pasir Gudang

Antara pilihan dimsum di Best Dimsum & Pau

Dimsum dan pau adalah antara makanan Cina yang disukai seluruh lapisan masyarakat di Malaysia. Terletak di Taman Dahlia, Pasir Gudang, Best Dimsum & Pau adalah antara tempat makan dimsum yang boleh anda cuba. Baca maklumat penuh dan lihat lebih banyak gambar menu di blog Nona Sani ini.

10. Restoren Senoko Seafood, Stulang Laut

Antara menu di Restoren Senoko Seafood

Restoren Senoko Seafood ini terletak di Stulang Laut, Johor Bahru. Menawarkan aneka masakan seafood, sesuai namanya, restoren ini dibuka mulai 4 petang hingga malam. Terliur saya tengok gambar sup tulang itu, aduh! Jengahlah blog Serikandi Tanah Jauhar untuk tahu penangan kedai ini sampai datang dua hari berturut-turut.

Tempat makan sedap di Johor yang mana satu dulu anda nak cuba ni?

Saya orang Johor pun belum cuba kebanyakannya dalam senarai di atas. Sesiapa yang dah cuba, komenlah yang anda suka dan yang anda rasa boleh perbaiki. Selamat jalan-jalan ke Johor dan cuba semua tempat makan sedap di Johor dalam senarai di atas.

Hits: 171

4 Comments

Share your thoughts about this post

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.