Resepi Roti Puri

Resepi roti puri, rangup di luar, gebu lembut di dalam | Minggu lepas teringin makan asam pedas tetel. Belilah daging tetel kat Maslee depan rumah ni. Bila cuci daging tu, nampak banyak pula daging tu. Bahagilah dua. Hari esoknya, buat kari daging pula.

Hari-hari makan nasi, nak bertukar selera pula. Bila dah buat kari daging, jengah-jengahlah resepi roti puri. Macam senang. Macam boleh buat. Saya ambil resepi original di Rasa.my, Cara Mudah Masak Roti Puri Sedap Guna Tepung Gandum.

Roti puri dengan kari
Roti puri gemuk, gebu

Memang benar! Sedap! Confirm bukan overclaim.

Sebab kami bertiga saja, jadi saya separuhkan resepi asal tu.

Resepi Roti Puri (6 bahan saja)

Makan 3 orang

2 cawan Tepung gandum
3 sudu besar Minyak masak
1 sudu besar Gula
1 sudu besar Yis
1 sudu teh Garam
1/2 cawan Air panas

  1. Satukan tepung, minyak, gula yis dan garam dalam bekas. Gaulkan sebati sampai berderai.
  2. Masukkan air sedikit demi sedikit sambil uli sampai doh tak melekat.
  3. Bulat-bulatkan lebih kurang saiz bola ping pong.
  4. Rehatkan 15 minit.
  5. Leperkan guna penggelek sampai nipis. Gunakan tepung atas permukaan gelek untuk elak melekat. Susun atas dulang yang dibubuh tepung juga.
  6. Pastikan minyak panas. Goreng sekeping demi sekeping dalam minyak panas yang banyak, cukup untuk siram permukaan roti masa menggoreng.
  7. Terbalikkan untuk pastikan permukaan atas masak penuh.
  8. Angkat setelah kekuningan dan toskan minyak.

Saya dapat 12 keping roti dari adunan di atas. Ngam-ngam 4 keping seorang kami makan.

Resepi asal ada sebut, kalau adunan masih keras lepas setengah cawan air habis, boleh tambah air biasa sikit-sikit untuk lembutkan doh. Tapi saya tak perlu buat hari tu. Doh cukup lembut dengan sukatan air tu.

Kalau suka rangup, boleh gelek roti sampai nipis. Saya buat tebal-tebal sikit Jadi dalam tebal dan lembut, barulah meresap kuah kari masa makan.

Minyak kena betul-betul panas supaya roti dapat menggelembung dengan comel dan cemerlangnya. Mesti disiram-siram ke permukaan atas roti supaya gelembungnya sekata, macam mandikan puteri kat sungai.

Tengoklah hasil roti puri kami

Roti puri by Sunah Sakura

Hits: 82

3 Comments

Share your thoughts about this post

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.