Gerhana Matahari Cincin 26 Disember 2019

GERHANA MATAHARI CINCIN 26 Disember 2019 | Gerhana Matahari Cincin ataupun Gerhana Matahari Anulus adalah peristiwa yang jarang berlaku. Kali terakhir gerhana ini disaksikan di Malaysia adalah pada 22 Ogos 1998, 21 tahun yang lalu di Mersing, Johor.

Saya masih ingat ketika itu, emak bawa pulang kertas filem x-ray supaya kami adik-beradik dapat lihat gerhana dengan mata kasar. Menakjubkan! Jika anda terlepas kali ini, anda mungkin harus tunggu berpuluh tahun lagi untuk kedudukan bulan, matahari dan Bumi sejajar seperti hari ini.

Apa Itu Gerhana Matahari Cincin?

Menurut falakonline.net, gerhana Matahari Cincin berlaku apabila Bulan bergerak tepat di hadapan Matahari. Namun disebabkan pada ketika itu, Bulan berada sedikit jauh daripada Bumi, maka saiznya sedikit kecil dan tidak akan dapat menutupi keseluruhan bentuk piring Matahari.

Fasa-fasa gerhana matahari
(Sumber: falakonline.net; Image credit: Courtesy of Jay Pasachoff)

“Ring of fire” antara gelaran yang diberikan ketika kemuncak Gerhana Matahari Cincin. Foto di atas menunjukkan dengan jelas ketika sentuhan atau kemunculan pertama bulan, kemuncak gerhana dan hingga kembali hilangnya bulan. 

Kesannya ialah jika kita berada di dalam kawasan atau berhampiran dengan kawasan laluan tengah gerhana ini, Matahari akan kelihatan seperti cincin.

Laluan Gerhana Matahari Cincin 2019

Secara amnya, laluan gerhana cincin ini akan bermula dari Semenanjung Tanah Arab, kemudian memasuki selatan India dan Sri Lanka, seterusnya  Asia Tenggara merentasi Malaysia, Indonesia, Singapura dan Filipina sebelum ia berakhir di lautan Pasifik.

Peta laluan gerhana matahari cincin 2019
(Sumber: falakonline.net)

Di kawasan Asia Tenggara (lihat peta bawah), bayang-bayang Bulan akan memasuki Sumatera Utara. Kemudian ia akan merentas Selat Melaka dan memasuki kawasan Pulau Batam. Sebahagian kecil Semenanjung Malaysia dan Singapura juga akan masuk di dalam kawasan ini. Selepas itu, ia akan mencecah di Kalimantan. Masuk ke dalam sebahagian sempadan Sarawak dan Kalimantan sebelum jatuh ke laut. Di Filipina, hanya sebahagian kecil hujung selatan Mindanao akan dapat melihat bentuk cincin ini.

Solat Sunat Gerhana

Solat sunat gerhana ialah solat sunat yang dilakukan ketika berlaku gerhana bulan atau gerhana matahari, boleh dikerjakan bersendirian atau berjemaah.

Rasulullah melakukan solat dua rakaat (solat sunat Gerhana), dan Rasulullah memanjangkan qiam (berdiri) dalam kedua-dua rakaat itu.

Selepas gerhana berakhir, baginda bersabda:

Dengan tanda-tanda ini Allah SWT menakutkan hamba-hambaNya. Maka apabila kamu melihatnya perlu kamu bersolat seperti solat yang baru dilakukan daripada solat-solat fardu

— Riwayat Bukhari

Solat sunat gerhana dilakukan semata-mata untuk menunjukkan rasa kagum akan kehebatan ciptaan Allah SWT, bukan untuk mengagungkan matahari atau bulan itu.

Cara Solat Sunat Gerhana

Niat

Sumber: akuislam.com

Usolli sunnatal kusuu-fi rak’ataini imaman / makmuman lillahi taala.

Sahajan aku solat sunat Gerhana sebagai imam / makmum kerana Allah Taala.

Cara Solat Gerhana

RAKAAT PERTAMA

  1. Takbiratul ihram
  2. Membaca doa iftitah
  3. Membaca surah Al-Fatihah
  4. Membaca surah. Dicadangkan membaca ayat daripada surah al-Baqarah (ayat 1-25) atau surah al-A’la (19 ayat)
  5. Rukuk (pertama) dan membaca tasbih (100 kali tasbih)
  6. Iktidal dan qiam kedua, membaca surah Al-Fatihah dan surah lain. Dicadangkan membaca surah al-Baqarah (ayat 26-48) atau surah al-Ghasyiyah (26 ayat)
  7. Rukuk (kedua) dengan membaca tasbih (90 kali tasbih)
  8. Iktidal
  9. Sujud (pertama) dan membaca tasbih (100 kali tasbih)
  10. Duduk antara dua sujud (sunat dipanjangkan tempohnya)
  11. Sujud (kedua) dan membaca tasbih (90 kali tasbih)
  12. Berdiri ke rakaat kedua.

RAKAAT KEDUA

  1. Qiam dan membaca surah Al-Fatihah
  2. Membaca surah. Dicadangkan membaca ayat daripada surah al-Baqarah (ayat 49-61) atau surah asy-Syams (15 ayat).
  3. Rukuk (ketiga) dan membaca tasbih (70 kali tasbih)
  4. Iktidal dan qiam keempat, membaca surah Al-Fatihah dan membaca surah. Dicadangkan membaca surah al-Baqarah (ayat 62-74) atau surah az-Zalzalah (8 ayat).
  5. Rukuk (keempat) dengan membaca tasbih (50 kali tasbih)
  6. Iktidal
  7. Sujud (ketiga) dan membaca tasbih (70 kali tasbih)
  8. Duduk antara dua sujud (sunat dipanjangkan tempohnya).
  9. Sujud (keempat) dan membaca tasbih (50 kali tasbih)
  10. Membaca tahiyat akhir
  11. Memberi salam dan imam bangun menyampaikan khutbah

BACAAN TASBIH DALAM SOLAT

Maksudnya:

Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada Tuhan melainkan Allah, dan Allah Maha Besar. Tidak ada daya dan tidak ada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung.

Waktu Solat Gerhana Cincin 26 Disember 2019

Waktu solat gerhana 26 Disember 2019 bagi Johor dan Kuala Lumpur, Malaysia
(Sumber: sariyusa.blogspot.com)

Sumber:

Hits: 2

Share your thoughts about this post

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.