Introvert Boleh Jadi UTC

Saya biasa dengar orang kata.
“Tak mahulah jadi unit trust consultant. Saya tak pandai cakap dengan orang yang tak dikenali.”
“Saya tak sesuailah jadi unit trust consultant. Saya mana pandai bercakap.”
“Bolehkah saya jadi unit trust consultant? Saya tak berani nak jumpa orang sana sini.”
Tenang, tuan-tuan dan puan-puan.
Saya seorang introvert. Bukan bermaksud saya pemalu atau pendiam. Cuma, masa yang saya habiskan membaca buku seorang diri di taman rekreasi mungkin lebih banyak daripada bersuka ria dengan sekumpulan rakan di pusat membeli-belah. Saya bukannya tidak suka atau takut pada manusia, namun pelbagai ragam orang membuatkan saya cepat kehabisan tenaga lalu kepenatan. Penting untuk introvert seperti saya duduk bersendirian memproses semua tenaga yang telah diserap selepas bersosial dalam jangka masa yang lama.
Jadi kenapa jadi jurujual? Kenapa tak pilih kerjaya yang boleh bersendiri?
Pertamanya, saya percaya dengan produk unit trust. Saya yakin dengan kaedah melabur yang betul – iaitu secara berkala dan dalam tempoh masa lebih 5 tahun – unit trust boleh memberikan pulangan sesuai dengan target kewangan kita.
Sebab yang kedua ialah saya suka manusia. Humans are interesting. Saya suka berhubung dengan orang dan menguruskan acara yang melibatkan pasukan yang besar. Walaupun tenaga saya mudah habis, saya tetap suka keluar berjumpa orang. Tenaga boleh diurus, seperti masa.
Ketiganya, sebab yang paling kuat saya memilih kerjaya ini ialah, potensi pendapatan dan pembangunan diri yang sangat besar dalam bidang ini. Dengan berjumpa dengan ramai orang, kemahiran mengurus manusia jadi lebih baik. Saya percaya, komoditi paling mahal sebenarnya adalah kepercayaan manusia. Dalam bisnes unit trust, “trust” merupakan tukaran yang paling penting antara konsultan dan klien. Hubungan konsultan-klien adalah hubungan kepercayaan dalam jangka panjang, mungkin seumur hidup.
Apa yang saya lakukan sebagai introvert?

  1. Kenal diri sendiri. Tahu kelemahan dan kekuatan sendiri. Cari garis had yang saya mampu lakukan. Rekodkan setiap kegagalan dan pencapaian sebagai kayu ukur tindakan atau aktiviti seterusnya.
  2. Urus kelemahan. Semua kelemahan boleh diurus. Kalau had tenaga saya setiap hari adalah 5 temujanji, saya takkan memaksa diri memuatkan banyak temujanji dalam kalendar saya. Dalam masa yang sama, pelbagai cara lain atau kemahiran lain boleh saya pelajari untuk meningkatkan kapasiti jualan saya. Contohnya, saya boleh adakan seminar untuk bercakap degan 20 orang sekaligus. Maksudnya, saya perlukan kemahiran lain iaitu pengucapan awam. Di sinilah saya memerlukan mentor untuk memastikan kelemahan saya ini diurus sebaiknya. Perkara yang sukar dibuat ini lebih konsisten jika ada mentor.
  3. Manfaatkan kelebihan. Siapa orang-orang terdekat anda? Dekati mereka dahulu. Apa kerja anda? Jika anda seorang penjual sayur, anda pasti lebih tahu kebiasaan penjual sayur, ajak penjual- penjual sayur seperti anda untuk menyimpan atau melabur dulu dalam unit trust. Kalau anda pandai menulis, tulislah sebanyak-banyaknya tentang unit trust. Sebab itulah saya menulis. Nampak tak? Nampak tak? (Perasan)

Pendek kata, semua orang boleh jadi jurujual jika mengenali kekuatan dan kelemahan sendiri. Saya boleh. Anda pun boleh.

19787491_1474304612593049_5497666796906802365_o
Gambar: Saya rasa saya lebih suka makanan daripada manusia. Sebab makanan tak pernah menolak cinta saya. Gitu!

Hits: 3

Share your thoughts about this post

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.